Wednesday, 10 September 2008

MENYUSUR KE PENDALAMAN DAERAH BELAIT GEMILANG Part 1

SUKANG?

Jika disebutkan ’Kampung Sukang’ apakah difikiran anda? Jika anda belum pernah ke Kampung Sukang, mungkin anda mengambarkan satu kampung kecil di ulu yang dirasai jauh atau sukar untuk dituju. Mungkin anda mengambarkan rumah-rumah panjang, rumah-rumah tradisi dan rumah-rumah kayu ditepi sungai di tengah-tengah keindahan kehijauan hutan tropika. Mungkin anda memikirkan puak-puak yang menduduki Kampung Sukang yang anda cuma ingat melalui televisyen dimana adat-adat dan budaya mereka dipersembahkan sewaktu musim keramaian sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam. Bagi penduduk Daerah Belait mungkin anda akan mengambarkan perahu melalui sungai dengan air yang keruh, berselekoh-selekoh dan penumpang di dalamnya duduk tenang melihat kehadapan menghadapi angin yang meniup kerana perahu berjalan dengan laju menuju ke Kampung Sukang. Mungkin anda terus memikirkan perkhidmatan perubatan dari Kementerian Kesihatan dibantu oleh Tentera Udara Diraja Brunei menggunakan pesawat Helikopter yang lebih dikenali dengan ’Doktor Terbang’ yang sering kali kita dengar di radio jika ada pengumuman lawatannya ke kampung tersebut. Mungkin juga anda tertanya-tanya dapat kah anda sampai ke Kampung Sukang dengan Kenderaan Darat. Anda mungkin juga tertanya-tanya adakah jalan-jalan yang menuju ke Kampung Sukang.

Gambaran dan bayangan ini telah bermain difikiran ahli-ahli Persatuan Gemilang Daerah Tutong yang tidak putus-putus ingin mencari pengembaraan dan menghadapi cabaran. Mungkin kerinduan ahli-ahli untuk mengembara dan cerita-cerita menarik mengenai perjalanan ke Kampung Sukang dari rakan-akan ahli persatuan yang telah pergi ke sana sangat-sangat memperengaruhi keinginan ahli-ahli yang lain untuk mengendalikan perjalanan tersebut dengan segera. Bolelah dirasai rancangan ini disambut dengan penuh kegembiraan dan ahli-ahli nampak tidak tertunggu lagi untuk berjalan menuju ke Kampung Sukang menggunakan kenderaan Pacuan 4 Roda.

Aktiviti-aktiviti menyusur kependalaman memang telah awal dirancang pada seperti dicatat di dalam ramalan kejadian GEMILANG 4x4 bagi tahun 2008. Ahi Jawtankuasa GEMILANG 4x4 telah bersetuju perjalanan ini akan bermula pada 30 Ogos 2008 dan balek pada 31 Ogos 2008. Mesyuarat perancangan dan penyatuan telah diadakan pada 24 Ogos 2008 dan taklimat akhir diadakan pada 29 Ogos 2008. Matlamat akitiviti ini adalah seperti berikut:

-Melatih dan meningkatkan kemahiran ahli dalam pacuan empat roda;
-melatih dan meningkatkan kemahiran ahli dalam perhubungan radio amatur;
-melatih dan meningkatkan kemahiran ahli dalam forografi alam semula jadi dll;
-menggabung-jalin aktiviti teras persatuan;
-mengeratkan perhubungan silaturrahim antara peserta;
-melatih ahli dalam kemahiran perkemahan kembara luar; dan
-meningkatkan pengetahuan geografi negara.

Hampir-hampir tarikh untuk berangkat, SMS mulalah sibok dengan pertukaran meseg apakah barangan dan perlatan yang perlu dibawa. Kesemua kedai-kedai camping di Brunei dikujungi untuk mencari peralatan Camping dan kembara luar (excited nya orang putih! Iski nya orang Brunei) walaupun kemudahan dan fasilitas untuk penginapan telah dipohonkan dari Pejabat Daerah Belait dan Pihak Kampung Sukang, mau jua kan bercamping.

BERTOLAK

Pada hari dan masa hendak bertolak, semua ahli-ahli berkumpul di Pachi Machi Tanjung maya untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perjalanan. Cuaca diramalkan hujan sepanjang hari tersebut hingga keesokkan harinya. Seperti gambar satelite ini, menunjukkan awan-awan tebal yang hampir menyelubungi keseluruh Negara Brunei Darussalam. Kesemua yang hadir merasakan beberapa cabaran akan dihadapi dalam perjalanan.

Peserta-peserta pun tidak lupa untuk membacakan doa selamat sebelum berangkat. Kenderaan yang ikut serta GOLF 1 – BF 773 (1st Recce, Toyota Land Cruiser FJ 40 + Extreme Trekker 2 Centipede), GOLF 2 – KJ 8042 (Convoy Commander, Toyota Hilux + AT Tires BF Goodrich), GOLF 3 – BT 7129 (Toyota Hilux + HT Tires Bridgestone), GOLF 4 – BQ 7504 (Toyota Hilux + HT Tires Bridgestone), GOLF 5 - KL 4891 (Toyota Hilux+ Extreme Trekker 2 Centipede + Bilstein & Kings Suspension), GOLF 6 – BF 6876 (Toyota Land Cruiser FJ 40 + Extreme Trekker 2 Centipede). Berikut adalah gambar beramai sebelum bertolak.
Berikut adalah laluan Menyusur Ke Pendalaman Daerah Belait ahli Persatuan Gemilang menggunakan Pacuan 4 Roda.
PERJALANAN MENUJU KE KAMPUNG SUKANG

Perjalan bermula dari Pachi Machi Kampung Tanjung Maya pada jam 2.52 ptg mengikut atur pergerakan GOLF1, GOLF2, GOLF3, GOLF4 dan GOLF5 (GOLF6 menyusuli kemudian). Awan semakin tebal dan gelap, dan mulalah hujan. Didalam GOLF2 ini, pemandu saya sendiri (setiausaha GEMILANG 4x4), Ketua Rombongan Awang Yakub bin Hj Abd Rahman juga Ketua Jurulatih GEMILANG 4x4, dan Mohd Amali bin Hamdan, Jurulatih GEMILANG 4x4. Dari Tanjung Maya melalui Ukong, Merimbun dan Merangking, permukaan jalan adalah pit. Jalan mulai berbatu-batu kecil dan tanah kuning dikawasan Merangking. Hujan terus turun kadangkala lebat dan kadangkala renyai-renyai. Walaubagaimanapun perjalanan tidak menjadi masaalah dan konvoy terus bergerak. Bagi GOLF2, 4WD Control Lever H4 telah digunakan dan kencaman roda dengan tanah sangat baik dan bersesuaian kerana keadaan tanah tidak terlalu banyak berlumpur. Perhubungan radio pun terus sibok dengan pertuturan makluman perjalanan dari GOLF1, GOLF2 dan lain-lain. GOLF6 menyusuli kemudian dan mengekori GOLF5.

Setelah sampai di rumah Panjang Bang Taong, jalan mulalah berbukit-bukit dengan tanah kuning dan hitam yang becak. Lumpur yang dalam di banyak tempat terutama sekali dikawasan rendah dan berdekatan sungai. Bukit pertama selepas Bang Taong telah menerima mangsa yang pertama kerana kenderaan GOLF5 tidak dapat menaiki bukit yang sangat licin.
Masa telah menunjukkan pukul 5.15 ptg. Hujan terus turun dan kelihatan awan-awan gelap yang tidak mungkin akan hilang hingga ke malam. GOLF5 terus mencuba berkali-kali untuk naik, tetapi tidak berjaya (macamana tah kan tenaik mun, HT Tires! Nda lagi bebunga tayar nya!) Mujur GOLF6 yang berada di belakang dapat membantu. Begitulah keadaan nya disepanjang perjalanan. Kenderaan samaada tidak ternaik bukit kerana licin atau terkubur di Lumpur yang bechak dan dalam. Kereta yang kuat dan mampu untuk menarik kereta terkandas seperti GOLF1, GOLF4 dan GOLF6, terpaksalah mengambil posisi dihadapan kereta terkandas dan menarik menggunakan snatch strap atau tali kalat. Sangat kagum jika dilihat kenderaan-kenderaan yang menarik ini. Perbezaan ketara antara kenderaan yang selalu terkubur dan kereta penyelamat ini adalah tayar yang digunakan. Kesemua kenderaan Pacuan 4 Roda yang menarik ini menggunakan tayar jenama SIMEX jenis Extreme Trekker atau digelar ’The Centipede’, kerana bunga tayar ini mirip badan centipede.


GOLF5 terkandas sebanyak 7 kali, GOLF3 terkandas sebanyak 6 kali dan GOLF2 terkandas sebanyak 2 kali. Jumlah recoveries yang dibuat oleh GOLF1, GOLF4 dan GOLF6 adalah 15 kali.
Pada kira-kira jam 8.50 mlm, konvoy pun sampai di Kampung Sukang setelah menghadapi beberapa halangan. Konvoy terus menuju ke Dewan Serba Guna kerana GOLF1 telah menerima berita bahawa kawasan lapang berdekatan Pos Polis yang dirancangkan untuk berkemah telah banjir disebabkan hujan turun seharian. Dari jauh, kawasan yang dituju nampak terang menerang dari cahaya lampu bangunan tersebut. Satu bangunan besar kami dekati dan penuh dengan orang ramai. Beberapa kereta dilihat terletak ditepi-tepi bangunan tersebut dan dari jendela nampak satu majlis sedang diadakan. Musik-musik pun semakin nyaring apabila kami mendekati. GOLF-GOLF pun mengambil tempat letak kereta masing-masing dan turun keluar kenderaan. Alhamdulillah, wajah keriangan ternampak di air muka ahli konvoy kerana cabaran perjalanan hari tersebut telah dihadapi dengan jayanya. Kini ahli telah menjejak kaki di tanah kampung yang telah lama dicita-cita untuk dikunjungi. Sebahagian kampung telah menyambut rombongan dan menjemput untuk masuk kedalam untuk menyaksikan majlis tersebut. Majlis yang sedang dijalankan adalah pertandingan mengajat Mukim Sukang. Tetamu kehormat pada majlis tersebut adalah Penolong Pegawai Daerah Belait. Kami juga dijemput untuk makan malam.


Selesai majlis tersebut kami berkesempatan untuk berjumpa dan beramah mesra dengan Penghulu Mukim Sukang YM Dato Maharaja Setia Haji Simpok bin DMS Dian. Kami juga sempat mengambil gambar beramai bersama YM Dato Penghulu.

Pada malam tersebut kami pun terus mengadakan BBQ diluar dewan tersebut.

Disebabkan kebanjiran, perkemahan diluar tidak dapat diadakan. Bilik-bilik di Dewan Serba Guna ini kami gunakan untuk penginapan. Kemudahan di bangunan begitu cukup dan menyenangkan rombongan. Cukup dengan dapor, bilik mandi, surau, bilik-bilik tidor, tilam, bantal dan lain-lain.

GOOOOD MORNING SUKANG!

Subuh kesesokan, peserta-peserta sudah bangun untuk solat Subuh dan juga mandi pagi. Peserta-peserta nampak sangat bersemangat untuk meneruskan aktiviti pada hari tersebut. Hari semakin cerah, tetapi matahari belum lagi nampak kerana embun-embun nampak masih menyelubungi kawasan-kawasan sekeliling an pokok-pokok seperti keluar dicelah-celah menembusi embun. Setelah minum pagi, pengiat-pengiat fotografi GEMILANG mulalah berjalan-berjalan di kawasan sekeliling untuk mendapatkan gambar awal pagi. Sungguh menyenangkan apabila YM Dato Penghulu berkunjung lagi ke Dewan tersebut untuk bersiar dan melawat tamu yang diadakan di dewan tersebut pada jam 0730 pagi. Sebahagian ahli-ahli sempat beramah mesra lagi dengan beliau. Pada jam 0800 pagi, kami pun mula bergerak ke Jeti Kampung Sukang untk menaiki perahu untuk bertolak ke Kampung Melilas.

Stay tune, perjalanan ke Melilas bersambung di

MENYUSUR KE PENDALAMAN DAERAH BELAIT Part 2

Persatuan Gemilang Daerah Tutong sukcita merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada YM Dato Maharaja Setia Hj Simpok bin DMS Dian Penghulu Mukim Sukang serta penduduk-penduduk Kg Sukang & YDM Pehin Datu Pekerma Dewa Awg Haji Ali bin Abdullah Penghulu Mukim Melilas serta penduduk-penduduk Mukim Melilas diatas sambutan dan layanan mesra kepada ahli persatuan sempena aktiviti Menyusur Ke Pendalaman Daerah Belait Persatuan Gemilang Daerah Tutong.