Thursday, 19 February 2009

Radio Amatur Gemilang Mantap dalam kecemasan - Part 1

Pada 2hb Februari 2009, Isnin Gemilang menerima panggilan telepon daripada Pihak Berkuasa Industri Info-Telekomunikasi (AiTi) menanyakan samaada Gemilang Radio bersedia menghulurkan bantuan komunikasi bagi menghubongkan Rumah Panjang Bukit Teraja dengan tempat–tempat yang lain. Dimaklumkan bahawa menara TelBru yang menempatkan rangkaian telepon ke Rumah Panjang Bukit Teraja telah tumbang disebabkan tanah susur. Ini telah menyebabkan terputusnya talian telepon ke rumah panjang tersebut. Kawasan rumah panjang ini juga tidak dapat menerima liputan pemancaran sistem perkhidmatan telepon bimbit memandangkan kawasan ini terlalu jauh daripada pemancar pembekal telepon mudah alih. Dalam keadan kecemasan, penghuni rumah panjang ini tidak mempunyai alat bagi berhubong dan perkara ini telah diambil maklum oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) . Sehubongan dengan itu, AiTi sebagai ajensi yang mengawal selia pengunaan Radio Frekuensi dan juga anggota didalam NDMC telah mengambil inisiatif untok meminta bantuan daripada penggiat- penggiat radio amatur di Negara ini termasuk Gemilang Radio, Persatuan Gemilang Daerah Tutong.

Gemilang menerima baik permohonan tersebut dan satu mesyuarat tergempar telah diadakan pada malam itu pada jam 10 malam bagi merancang dan menilai keupayaan dan kesediaan Gemilang dan ahlinya untok menghulurkan bantuan kecemasan komunikasi ke Rumah Panjang tersebut. Kesemua aspek telah dibincangkan termasuk ahli yang akan ditugaskan, peralatan komunikasi, logistic, bekalan makanan dan tenaga elektrik dan lain-lainnya. Mesyuarat telah sepakat untok menerima cabaran ini walaupun Gemilang tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam menghulurkan bantuan komunikasi kecemasan seperti ini. Mesyuarat yang berakhir jam 1:00 pagi ini telah merumuskan pasukan Gemilang ini akan sedia untok dikerahkan dalam masa 4-6 jam selepas diarahkan. Pada keesokan harinya kesemua keputusan mesyuarat ini telah pun maklumkan kepada pihak AiTi untok disampaikan kepada NDMC.

Pada hari Rabu 4hb Februari jam 10:30 pagi Gemilang menerima panggilan telepon mengarahkan supaya pasukan Radio Amaturnya bersedia untok dikerahkan pada hari tersebut. Seperti yang telah dirancangkan, Pasukan Radio Amatur Gemilang telah berkumpul di Rumah Kediaman Awg. Abdul Asuhnah DLR Hj Md Jair (V8MKJ) sebelum jam 3:00 petang untok menerima arahan seterusnya. Ahli-ahli tersebut ialah V8MKJ, V8NFA, V8AQM, V8AYN, V8AVE dan V8AMC. ‘Base Station’ V8MKJ akan dijadikan pusat penerimaan pancaran pasukan yang akan bergerak ke Bukit Teraja dan dua orang ahli akan memantau iaitu V8MMY dan V8ABR. Dalam keadaan yang tergesa-gesa, Setiausaha Gemilang Radio V8NFA dan Pengerusinya V8MKJ telah menyediakan satu surat bagi kelonggaran bertugas semasa operasi tersebut.

Pada jam 5:30 petang, Gemilang menerima panggilan telepon daripada Pegawai AiTi dan menyampaikan arahan supaya pasukan Gemilang Radio bergerak sesegeranya. Walaubagaimana pun disebabkan hari mula gelap dan memandangkan tidak banyak waktu untuk kerja-kerja pemasangan pesawat setelah tiba disana, rombongan mengambil keputusan untok bergerak pada esok hari nya Khamis 5hb Februari 2009 jam 7:30 pagi. Memandangkan juga surat arahan daripada AiTi hanya diterima pada malam tersebut, beberapa orang ahli tidak mungkin berkesempatan untok diberi kelonggaran keluar dari bertugas dalam waktu yang singkat . V8AVE, V8AMC dan V8AYN memaklum bahawa Ketua Jabatan masing-masing tidak mungkin akan dapat mempertimbangkan bagi mereka keluar dari bertugas mengikut rombongan tersebut.

Dalam waktu yang mendesak Pengerusi Gemilang Radio telah menghubongi V8MUU dan V8MMY untok menggantikan tempat tiga ahli yang tidak dapat menyertai. V8MMY tidak mendapat halangan daripada Ketua Jabatannya dan manakala V8MUU hanya akan mendapat kepastian apabila beliau hadir memulakan giliran bertugas jam 6:00 pagi pada hari Khamis. Selain daripada itu, Pusat Operasi NDMC di Kuala Belait juga dihubongi bagi keperluan logistic menuju ke Kampong Mendaram Ulu, Bukit Teraja.

Walaupun cuma empat orang ahli sahaja yang bertolak meninggalkan pusat penerimaan pancaran di Kampong Tanjong Maya dengan suasana hujan turun, semangat pasukan tetap nekad untok menghulurkan bantuan yang diperlukan ini. Kesemua barang-barang terpaksa di kemaskan menggunakan plastic bagi mengelakkan dari dimasuki air hujan yang mengiringi perjalan rombongan tersebut. Dua buah kenderaan digunakan dan setiba rombongan di Pusat Operasi NDMC Sungai Mau pada puku 9:15 pagi, rombongan telah diberi taklimat oleh petugas pusat mengenai dengan situasi banjir dan tempat-tempat yang terjejas. Keadaan di pusat operasi yang baru di buka ini tidaklah begitu rapi dari segi koordinasinnya dan rombongan terpaksa menunggu sehingga jam 11:00 pagi sebelum bertolak menaiki bot menuju ke Sungai Petai. Disebalik waktu yang terbuang menanti bot tentera, V8MUU telah menghubongi ahli rombongan bahawa beliau akan menyertai dan sedang dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Sungai Mau.

Rasa kegembiraan nampak diwajah ahli-ahli rombongan apabila mendengar seorang lagi ahli Gemilang akan mengikuti rombongan. Ternyata Ketua Jabatan tempat beliau bertugas begitu memahami keadaan kecemasan dan bantuan yang diperlukan tanpa banyak soal. Begitulah seharusnya yang dicontohi oleh jabatan-jabatan yang lain bukannya mempersoalkan kenapa agensi-agensi yang berkenaan tidak menghulurkan bantuan semasa kecemasan ini. Tugas sukarela ini adalah demi membantu agensi-agensi kerajaan dalam kerja-kerja menghulurkan bantuan dan bukannya untok disangsikan.