Monday, 9 August 2010

Uji cuba kenderaan Jeep Wrangler di Tutong






Oleh Yusrin Junaidi, Media Permata

TUTONG, Ahad, 8 Ogos 2010 - Jeep Wrangler tidak pernah kehilangan peminat yang terdiri daripada pencinta Off-Road.

Kenderaan Jeep dikeluarkan oleh syarikat Daimler Chrysler dan di Brunei kenderaan itu diedarkan pengedar kereta tempatan, GHK Brunei.

Syarikat pengedar kereta GHK Brunei dan Persatuan Gemilang Brunei buat pertama kalinya menganjurkan Kempen Jeep 2010 khusus untuk pemilik kenderaan Jeep Wrangler, Cherokee, Compas, Grand Cherokee, di kawasan Pasir Putih di sini dan mendapat sambutan amat mengalakkan.

Kempen Jeep 2010, yang disertakan dengan acara Off-Road ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pemilik Jeep dan kakitangan syarikat penganjur.

Ia turut mengetengahkan kekuatan pacuan empat roda Jeep Wrangler Sport Unlimited. Kereta ini bukan saja menunjukkan reka bentuk yang gagah, bahkan telah membuktikan kekuatan kuasa enjin V6 3.7cc semasa uji cuba di Kawasan trek off-road Pasir Putih Tutong hari ini.

Daripada hasil uji cuba Jeep Wrangler Sport hari ini, kereta ini memang layak diberi nama sebagai "Legenda" bagi keluarga kereta berkuasa pacuan empat roda atau lebih dikenali dengan 4X4 atau 4WD.

Sebelum kempen dimulakan, Presiden Persatuan Gemilang Awang Ayup menerangkan tentang sistem kereta berkuasa pacuan empat roda, pacuan dua roda dan 4X4 selain menjelaskan mengenai tatacara keselamatan semasa berada di dalam kawasan off-road.

Sebelum itu, pengenalan lebih dekat tentang Jeep Wrangler 2010 juga disampaikan oleh salah seorang kakitangan dari Chrysler Brunei, GHK Sdn Bhd yang menyentuh mengenai anugerah yang dimenangi oleh Jeep Wrangler sebagai "Kereta Off-Roader Terbaik" yang dianugerahkan oleh Lifestyle Award dari Cars.com.

Kemampuan Jeep Wrangler telah menjadi keutamaan peminat Off-Road, di mana ia menawarkan kombinasi dari pelbagai faktor keselamatan, ruang yang fleksibel, keselesaan yang khusus dicipta untuk pemilik kereta Jeep Legenda "Wrangler".

Kereta ini juga memberikan kenyamanan dan menyenangkan di mana ruang atap boleh diganti dengan kanvas atau "Hard-Top" menjadikan satu-satu kereta pacuan empat roda yang sebenar 4x4 convertible.

Menurut salah seorang daripada pemilik kereta semi-4wd Jeep Compas, Dayang Aizen Syamsiah, Kempen Jeep 2010 memberikan banyak pengetahuan dan pengalaman di antara pemilik kereta Jeep di tanah air. Kempen ini juga memberikan kesempatan untuk sama-sama bertukar-tukar pendapat tentang sistem kereta masing-masing".

Awang Mohd Zoolfadli pula berkata, walaupun berada di dalam kereta dan tidak sempat untuk menguji cuba kenderaan pacuan empat roda Jeep Wrangler. Akan tetapi pengalamannya sudah memadai akan kekuatan kereta berkenaan.

Manakala Awang Abdul Fariddudin pula berharap, Daimler Chrysler di bawah GHK Sdn Bhd akan meneruskan kempen Jeep berkenaan dengan mengetengahkan kenderaan jenama Jeep seperti Cherokee, Grand Cherokee, dan lain-lain.