Thursday, 13 October 2011

UCAPAN YANG DIPERTUA GEMILANG SEMASA SAMBUTAN HARIRAYA GEMILANG 2011


24hb September 2011 bersamaan.... 27 hb Syawal 1432H

BISMILAHIRAHMAN NIR RAHHIM ASSALAMULAIKUM WRT ALHAMDULLILAH HIRABILALAMIN, WASALA TUWASA MUALA ASRAFIL AMDIA HIWARMURSAIL, WAALA AHLIHI WASABIHI AJMAAIN, YANG MULIA, AWANG HJ AYUB HJ SUHAILI, PENASIHAT AJKT PERSATUAN GEMILANG , YANG MULIA AWANG YAKUB BIN HJ ABD RAHMAN, NAIB YANG DIPERTUA PERSATUAN GEMILANG YANG MULIA, ANAK-ANAK BELAIAN KASIH GEMILANG DAN PENJAGA-PENJAGA MASING-MASING. AHLI-AHLI JAWATAN KUASA TADBIR GEMILANG, AHLI-AHLI JAWATANKUASA MAJLIS, HADIRIN DAN HADRAT WARGA GEMILANG YANG DIHORMATI SEKALIAN….SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN..

Buah pauh di tengah bendang
Jadi dagangan di tengah laman
Saudara jauh datang bertandang
Persatuan GEMILANG Alu-alukan

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga GEMILANG serta hadirin sekalian. Saya berasa sungguh gembira kerana pada malam ini kita dapat bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh rasa muhibbah di dalam suasana mesra dan terbuka.


Adalah menjadi harapan saya agar majlis pada malam ini akan memberi peluang kepada semua warga GEMILANG untuk merapatkan silaturrahim sambil menikmati juadah yang disediakan. Secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan perpaduan sesama kita. Ia juga memberi kesempatan kepada kita untuk saling bermaaf-maafan dan juga mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin.

Walaupun semangat kekeluargaan di dalam persatuan tidak setebal pertalian keluarga sendiri, ia tidak kurang pentingnya dalam menentukan keharmonian sesebuah organisasi dan seterusnya negara. Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan kaum, kita seharusnya mengamalkan sikap muafakat dan berkerjasama di antara satu sama lain bagi menyumbangkan kepada pembangunan negara dan seterusnya membawa kepada kebaikan bersama. Bak kata pepatah ‘MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT’.

Di kesempatan ini juga, kita turut meraikan seramai 6 orang anak-anak Belaian Kasih Gemilang. Semoga dengan usaha kita ini, sedikit sebanyak dapat membantu menceriakan mereka.

Tidak lupa juga saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Gemilang pada tahun ini.

Dengan itu, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh warga GEMILANG dan juga hadirin sekalian.

Sungai disusur sehari-hari
Dalam gelap menangkap ikan
Mari menyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan


Sekian,
Wabillahitaufiq walhidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.